
Beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin mempunyai peluang untuk melakar kemenangan ke atas beregu Indonesia yang baru sahaja bergandingan, Rinov Rivaldy dan Lisa Ayu pada peringkat suku akhir Masters Indonesia 2024.
Namun begitu, peluang itu tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya ketika mendahului 19-17 pada set ketiga di Gelanggang 2, Istora Senayan.
Sebaliknya, Rinov-Lisa, ranking 339 dunia, yang mendapat sokongan padu penonton dan penyokongnya sendiri berjaya bangkit mengejar dan menoktahkan set tersebut menerusi skor 21-19.
Sebelum itu, Rinov-Lisa turut bangkit melakar kemenangan pada set kedua menerusi skor 21-11 selepas tewas set pembukaan dengan skor 21-23 di tangan Pang Ron-Su Yin.
Keputusan pada hari ini sekaligus menghanguskan peluang mereka untuk mara buat julung kalinya sehingga peringkat separuh akhir kejohanan ini.
Sementara itu, Rinov-Lisa yang muncul sebagai pemenang akan bertembung dengan beregu Jepun, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito yang berjaya menyingkirkan beregu campuran No.2 Malaysia, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia