Kerajaan Terengganu Cadang Bina Litar Permotoran Di Kemaman – Tanah Sudah Dirizabkan
February 3, 2025 Hafizuddin Omar

Kerajaan Negeri Terengganu sedia membina sebuah litar permotoran baharu bagi merancakkan lagi sukan permotoran di negeri berkenaan.

Perkara tersebut masih berada pada peringkat awal perancangan namun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Terengganu, YB Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan tanah bagi tujuan itu telah pun dirizabkan.

Pada masa yang sama, Hishammuddin menjelaskan pembinaan litar tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masa terdekat berikutan ianya memerlukan kos yang tinggi.

View this post on Instagram

A post shared by Tarmac Sports (@tarmacsportsmy)

“Sebenarnya, (perancangan) jangka masa panjang yang kita ada adalah litar permotoran baru, memang agak sukarlah (untuk membinanya), pada saya sebab kos yang terlalu tinggi,”

“Kita pun telah melawat Litar Antarabangsa Buriram untuk melihat formula di sana, saya pergi dengan Ron (Hagg) penganjur Petronas Cub Prix, jadi kita dah lihat rekaannya macam mana,”

“Tanah pun kita dah ‘reserve’ untuk di Kemaman, Terengganu, tapi bila ianya (dibina) saya tak tahu, sekarang ini mungkin tak mampu,” katanya dalam sesi temubual bersama Tarmac Sports.

Memandangkan kos pembinaan yang tinggi, Hishamuddin memaklumkan sekiranya terdapat mana-mana pelabur yang berminat dengan pembinaan litar di tersebut, pihak Kerajaan Negeri berbesar hati untuk memberikan kelulusan.

Ketika ini, Negeri Terengganu mempunyai satu litar iaitu Litar Drag bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim

Komen