
Kejayaan Sri Pahang FC melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-25 turut mendapat pujian daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Sri Pahang bimbingan bekas pemain legenda Singapura, Fandi Ahmad mengesahkan tempat ke perlawanan akhir tersebut selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC pada aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, semalam.
Keputusan itu membolehkan Sri Pahang melakar kemenangan 3-2 secara agregat selepas kedua-duanya terikat 1-1 pada aksi pertama separuh akhir di Stadium Likas.
Susulan kejayaan mara ke pentas akhir buat julung kalinya selepas 11 tahun, Wan Rosdy turut menyeru penyokong-penyokong untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada skuad berjulukan Tok Gajah kelak.
“Saya yakin kita mampu menamatkan kemarau 11 tahun dan bawa semula Piala Malaysia pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.”
“Ayuh rodong-rodong ke Bukit Jalil kita nanti,” katanya.
Di pentas akhir kelak, Sri Pahang akan bertemu dengan juara bertahan Piala Malaysia merangkap pendahulu Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim yang dijangka berlangsung sekitar penghujung April kelak.
Sebagai rekod, kali terakhir Sri Pahang (dahulunya dikenali sebagai Pahang FA) menjulang trofi Piala Malaysia adalah pada tahun 2014 dengan menumpaskan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 selama 120 minit permainan.
Featured Image: Sri Pahang FC