Bayern Munich Sambung Kontrak Manuel Neuer

February 4, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bayern Munich akan terus menggunakan khidmat penjaga gol berpengalamannya merangkap kaptennya, Manuel Neuer sehingga ke penghujung musim 2026.

Sepatutnya kontrak Neuer, 38 tahun, akan tamat pada penghujung musim ini namun beliau telah menandatangani lanjutan kontrak yang mengekalkannya dengan kelab berjulukan The Bavarians sehingga 30hb Jun 2026.

Lanjutan kontrak itu bakal menyaksikan Neuer akan beraksi buat musim ke-15 bersama Bayern Munich sejak menyertai kelab berkenaan pada jendela perpindahan musim panas 2011.

Sepanjang tempoh itu, Neuer telah merekodkan 547 penampilan selain membantu Bayern menjulang 11 kejuaraan Bundesliga, enam kejuaraan Piala Jerman dan tujuh kali menjulang trofi Supercup.

Bukan itu sahaja, Neuer turut meraih dua gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) serta merangkul Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA.

Neuer dijangka akan menambah koleksi kejuaraannya pada musim ini dengan mengambil kira Bayern mendahului saingan Bundesliga dengan pungutan 51 mata daripada 20 perlawanan.

Featured Image: Bayern Munich

ยฉ 2025 Amanz Media Sdn Bhd