BWF Uji Sistem 15 Mata Di Kejohanan-Kejohanan Terpilih
Hafiz Omar

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tampil meluluskan pelan untuk menguji secara praktikal sistem kiraan 3 x 15 mata di kejohanan-kejohanan terpilih seperti Kejohanan Benua, Kejohanan Gred 3, Kejohanan Kebangsaan dan Antarabangsa.
Sesi uji sistem pengiraan mata baharu itu akan berlangsung sekitar April hingga September/Oktober 2025.
Terdahulu, pada mesyuarat bertarikh 9hb November 2024, BWF telah menyokong sistem kiraan 3 x 15 mata, sebahagian daripada Alternatif Undang-Undang & Peraturan Badminton – sistem kiraan pilihan untuk menggantikan sistem kiraan sedia ada.
Menerusi sistem kiraan ini, pemain pertama yang menuntut 15 mata akan diangkat sebagai pemenang set. Pemenang perlawanan dipilih bagi yang berhasil memenangi dua daripada tiga set permainan.
Jika pada satu-satu set itu kedua-dua pemain terikat 14-14, “deuce” akan dijalankan dengan pemain perlu melakar jurang dua mata berbanding lawannya.
Sekiranya kedudukan mata terikat pada skor 20-20, pemain pertama yang meraih mata ke-21 akan muncul pemenang.
BWF menjelaskan sistem kiraan mata ini akan membuatkan setiap kutipan mata lebih mengujakan selain menjadikan permainan lebih pantas. Pada masa yang sama, sistem 3 x 15 ini juga akan memendekkan permainan dan memberikan penjadualan perlawanan yang lebih baik.
Bagaimanapun, keputusan akhir samada sistem kiraan 3 x 15 mata ini akan diimplemen untuk kesemua kejohanan badminton akan dilakukan oleh BWF pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF 2026.