
Perjalanan skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC dalam edisi sulung Piala Shopee menemui titik noktahnya selepas tewas di tangan BG Pathum United FC, semalam.
Kekalahan 3-4 di tangan BG Pathum United FC pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Terengganu FC menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga sekaligus gagal melangkah ke peringkat separuh akhir.
Pertembungan yang berlangsung di Stadium Leo itu memperlihatkan Terengganu FC terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-66.
Bagaimanapun, BG Pathum United berhasil mengikat serta mendahului menerusi kedudukan 4-1 apabila Raniel Santana de Vasconcelos menyumbat dua gol pada minit ke-71 dan ke-76 diikuti dengan satu jaringan oleh Gokuto Notsuda dan Ilhan Fandi pada minit ke-83 dan ke-87 masing-masing.
Terengganu FC cuba mengejar pada saat-saat akhir permainan namun mereka hanya sempat menambah dua gol sahaja pada masa kecederaan hasil jaringan Safawi Rasid sebelum pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan.
Secara keseluruhannya, Terengganu FC menamatkan kempen Piala Shopee ini dengan melakar dua kemenangan, mencipta satu keputusan seri dan tewas dua perlawanan.
Sebagai tambahan, BG Pathum United dan PSM Makassar muncul juara dan naib juara Kumpulan A sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Shopee 2024-25.
Featured Image: Terengganu FC