Ini Hala Tuju Baharu – Umum Jumlah Pingat Bukan Warna Pingat

February 6, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Penetapan sasaran pingat berdasarkan kepada jumlah keseluruhan dan bukannya warna sesebuah jenis pingat apabila kontinjen negara menyertai sesuatu temasya sukan menjadi hala tuju baharu oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Hala tuju baharu itu disifatkan lebih baik dan lebih sesuai untuk para atlet negara dan perkara ini diambil selepas berbincang dengan pihak pakar di Nippon Sports Science University (NSSU) yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MSN. 

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, YB Afnan Hamimi semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.

“Semasa kita berbincang dengan NSSU dan semasa kita melakukan post-mortem bersama pakar, mereka telah katakan bahawa, bila kita umumkan sasaran jumlah pingat emas dan dimana ia akan datang, tekanan tinggi kepada atlet tertentu,”

“Untuk negara-negara yang maju, mereka telah keluarkan (perkara) seperti ini untuk pastikan mereka hanya umumkan jumlah pingat dan semua orang, kontinjen, mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada jumlah pingat,”

“Dan berdasarkan kepada penilaian kita lakukan bersama atlet yang kita lakukan khasnya di Sukan Asia Hangzhou, mereka rasa mereka lebih gembira bila ada sasaran untuk seluruh kontinjen dan setiap pemenang pingat walaupun pemenang pingat gangsa, mereka diraikan sebagai seorang pemenang dan bukan hanya tertumpu kepada pemenang pingat emas,”

“Jadi ini merupakan satu hala tuju yang lebih baik dan lebih sesuai untuk atlet kita dan ini juga bukan dilakukan oleh MSN sendiri, kita telah bincang dengan pakar dan mereka bersetuju bahawa ini adalah hala tuju baharu, kita harus menyesuaikan diri dengan negara-negara yang maju yang lain, yang telah berubah ke arah itu,” katanya.

Bercakap mengenai penetapan sasaran pingat untuk temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung dari 7hb hingga 19hb Disember kelak, Hannah berkata ianya akan ditentukan secara bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas ini.

Untuk makluman semua, pendaftaran akhir bagi atlet untuk menyertai temasya itu masih terbuka sehingga September.

Namun begitu, Hannah menjangkakan beberapa jenis sukan seperti akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin bowling akan menjadi penyumbang bilangan pingat buat kontinjen negara.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd