
Naik taraf padang di Stadium Perak, Ipoh untuk membaiki saliran serta menggunakan rumput jenis bilah halus dijangka siap pada Ogos 2025, demikian perkongsian daripada pemiliknya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Menerusi satu penjelasan yang diberikan oleh MBI, kerja-kerja naik taraf itu mengambil sedikit masa kerana memerlukan pemantauan dan perincian teknikal yang teliti bagi memastikan masalah air bertakung sedia ada akan dapat diatasi selepas kerja naik taraf selesai sepenuhnya kelak.
Difahamkan, pihaknya telah mengenal pasti adanya keperluan melakukan skop kerja tambahan bagi memastikan keberkesanan projek ini.
Antaranya sistem saliran sedia ada di Stadium Perak perlu dinaik taraf dengan membesarkan longkang ‘collector’ baharu kerana longkang sedia ada terlalu kecil dan tidak akan mampu menampung kapasiti saliran air yang mencukupi sekiranya berlaku hujan lebat.

Skop kerja tambahan ini membuatkan MBI terpaksa menyediakan kertas kerja dan memohon kelulusan daripada pihak pengurusan bagi mendapatkan peruntukan tambahan – dimaklumkan ianya adalah wang daripada pihak MBI sendiri.
Mengulas mengenai kerja-kerja naik taraf padang yang menggunakan peruntukan berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MBI berkata ianya sedang melalui proses dokumentasi dalaman bagi pelaksanaan secara sebut harga terbuka kepada kontraktor-kontraktor yang berkelayakan dan berpengalaman.
Untuk makluman, penjelasan ini diberikan oleh MBI menjawab pertanyaan yang dilontarkan oleh akaun Facebook, Seladang Fan Club, baru-baru ini.
Pada ketika ini, berikutan kerja-kerja naib taraf terbabit, Perak FC kendalian Yusri Che Lah beralih menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai ‘home’ mereka.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers