Marcelo Umum Persaraan Pada Usia 36 Tahun
Hafiz Omar

Bek kiri legenda dari Brazil, Marcelo Vieira da Silva Junior atau lebih dikenali sebagai Marcelo mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 36 tahun.
Pemain yang memulakan karier bola sepaknya bersama Fluminense sebelum berhijarah menyertai kelab gergasi bola sepak Sepanyol iaitu Real Madrid pada usia 18 tahun mengumumkan persaraannya selepas hampir dua dekad bermain bola sepak.
Persaraannya itu diumumkan Marcelo menerusi satu video berdurasi satu minit dan 36 saat merangkumkan perjalanan bola sepak serta pelbagai kejuaraan dimenanginya yang dimuat naik di akaun media sosial peribadinya, pada Khamis.
Sepanjang bergelar pemain, terutamanya ketika bersama Real Madrid, Marcelo berhasil menjulang enam kejuaraan LaLiga, lima kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA, lima trofi Supercopa de Espana, empat trofi Piala Dunia Kelab FIFA, dua kejuaraan Copa del Rey dan tiga trofi Piala Super.
Bukan itu sahaja, ketika pulang ke kelab zaman remajanya, Fluminense, Marcelo sempat membantu kelab berjulukan Tricolor itu menjuarai Copa Libertadores 2023.
Sementara itu, sepanjang kariernya juga, Marcelo turut merekodkan 58 penampilan bersama Brazil dalam pelbagai pertandingan dan kejohanan termasuk beraksi di tiga edisi Piala Dunia iaitu 2010, 2014 dan 2018.
Bagaimanapun, bersama Brazil, Marcelo tidak meraih banyak kejuaraan selain merangkul kejuaraan Piala Konfederasi FIFA 2013 serta membawa pulang pingat perak dan gangsa daripada edisi Sukan Olimpik 2012 dan 2008 masing-masing.
Featured Image:Â Real Madrid