Matlamat Jangka Masa Panjang Arif Aiman
Hafiz Omar

Sentiasa meningkatkan diri sebagai pemain bola sepak dan terus beraksi di peringkat tertinggi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi matlamat jangka masa panjang Arif Aiman Mohd. Hanapi – pemain yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) tiga kali berturut-turut.
Itu yang dikongsikan oleh Arif, 22 tahun, yang beraksi selaku penyerang sayap bersama skuad berjulukan Harimau Selatan dan skuad senior bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya sepertimana disiarkan oleh laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tahap pada hari ini. Saya rasa tahap saya belum mencukupi, jadi saya akan terus berusaha dan capai cita-cita yang lebih tinggi.” katanya.
Pada masa yang sama, Arif, yang telah menjaringkan 4 gol serta mencipta satu bantuan gol dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2024-25 mahu memberikan sepenuh komitmen dan tumpuan terhadap skuad Merah Biru dan tidak memberikan respon terhadap persoalan daripada penemubual AFC samada mempunyai hasrat untuk beraksi di luar negara atau tidak.
Bercakap mengenai saingan ACLE, Arif tidak mahu merangkumkan lagi prestasi JDT di dalam saingan tertinggi bola sepak asia ini berikutan skuad kendalian Hector Bidoglio masih mempunyai baki dua perlawanan di Peringkat Liga.
Mereka kini berada di tangga keenam daripada 12 pasukan dalam Kumpulan A selepas mengharungi enam perlawanan.
Arif menekankan dirinya dan rakan-rakannya akan memberikan persembahan yang terbaik dalam dua perlawanan berikutnya dalam usaha untuk mara ke peringkat kalah mati. Dimaklumkan persiapan jitu telah dilakukan untuk berhadapan dengan dua akhir terakhir Peringkat Liga itu.
Untuk makluman, JDT akan turun menentang wakil Australia iaitu Central Coast Mariners pada Selasa dengan sepak mula pada jam 4 petang (waktu Malaysia) untuk aksi ketujuh Kumpulan A bagi saingan ACLE.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers