
Para penyokong Selangor FC berkemungkinan dapat melihat salah satu daripadanya skuad pelapisnya beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak negara seberang tambak iaitu Liga Premier Singapura (SPL).
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Rabu lalu mengumumkan jemputan kepada kelab-kelab dalam negaranya serta luar negara untuk menyertai saingan SPL 2025-26.
Jemputan itu dilakukan sebagai usahanya untuk mengembangkan saingan liganya – menambahkan penyertaan kelab, merancakkan saingan SPL serta menyediakan ruang buat pemain-pemain Singapura bermain di tahap tertinggi di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon sedia meneliti idea untuk menghantar Selangor FC Bawah 23 Tahun (B-23) beraksi dalam kancah berkenaan sekiranya tiada pertandingan khusus untuk skuad terbabit pada musim hadapan.
Tambah Dr. Johan lagi, Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur belum membuat kenyataan rasmi samada mahu terus mengadakan saingan Piala MFL (saingan liga simpanan khusus untuk skuad B-23) atau mengembalikan semula saingan Liga Premier (divisyen kedua bola sepak tempatan) pada musim hadapan.

“Ianya sangat menarik (menyertai Liga Premier Singapura), saya tak meneliti lagi idea ini, tetapi kita komited dengan Liga Malaysia, tetapi kita tak akan tahu, kita pun tak dapat pengumuman pasal Liga Premier atau Liga B-23,”
“Mungkin ‘second team’ kita boleh hantar ke Liga Singapura, saya tak tahu, ada kemungkinannya tetapi sudah tentu banyak lagi benda yang (kami) kena pertimbangkan, kalau Liga Premier atau Liga B-23 berlangsung sudah tentu kita akan hantar ke sini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Selangor FC dan RMS Synergy di Shah Alam, pagi tadi.
Jelas Johan, penelitian terhadap idea itu akan dilakukan pihaknya memandangkan Selangor FC telah pun menandatangani pemain-pemain yang akan beraksi untuk skuad Selangor FC B-23 pada musim hadapan.
“Ya (pelan B) sekiranya Liga Premier atau Liga B-23 tidak ada sebab kita dah menandatangani pemain-pemain dan difahamkan banyak pasukan yang mungkin tiada perancangan untuk (skuad) B-23,” tambahnya lagi.
Difahamkan, pada saat ini, MFL sedang membincangkan mengenai penerusan penganjuran Piala MFL atau mengembalikan semula saingan Liga Premier pada musim hadapan.
Satu pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh MFL pada Mesyuarat Rakan Kongsi yang berikutnya dan Dr. Johan menjangkakan ianya akan berlangsung pada minggu hadapan.
Baca: TMJ Mahu Hantar JDT III Beraksi di Liga Singapura
Sebagai rekod, pada 2021 lalu, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail yang kini merupakan Pemangku Sultan Johor turut pernah melontarkan idea dan merancang untuk menghantar skuad pelapisnya iaitu JDT III untuk beraksi di Liga Singapura.
Pada musim ini, saingan SPL disertai oleh dua buah pasukan jemputan dari luar Singapura iaitu DPMM FC dari Brunei dan sebuah pasukan satelit dari Jepun iaitu Albirex Niigata.