
Sebuah syarikat sinergi yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor iaitu RMS Synergy diperkenalkan selaku penaja terbaru buat Selangor FC.
Penajaan itu hadir selepas kedua-dua entiti secara rasminya memeterai kerjasama bertempoh masa satu tahun bertempat di Concorde Hotel, Shah Alam pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memaklumkan kerjasama itu turut menyaksikan skuad berjulukan Gergasi Merah itu menerima penajaan wang tunai yang tidak didedahkan jumlahnya.

Selain itu, kerjasama ini juga bakal menyaksikan kedua-dua entiti akan memainkan peranan untuk mengadakan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada para penyokong khususnya komuniti dan masyarakat setempat di negeri Selangor.
Kerjasama dan perkongsian ini dilihat sejajar dengan nilai yang Selangor FC ingin ketengahkan selain mengukuhkan identiti kelab sebagai organisasi yang bertanggungjawab serta mendekatkan lagi kelab dengan para penyokong.
Untuk makluman semua, RMS Synergy pernah menerima pengiktirafan sebagai salah satu daripada sepuluh teratas dalam SME 100 Recognition Award (Malaysia).