
Skuad Malaysia terpaksa akur memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 peringkat Kumpulan B dengan langkah kiri susulan dikejutkan oleh Hong Kong.
Episod kekalahan Malaysia itu bermula dengan beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang turun pada pertarungan pertama tewas di tangan beregu di ranking ke-151 dunia, Tang Chun Man dan Ng Tsz Yau.
Pang Ron-Su Yin yang menduduki tangga ke-15 dunia tewas menerusi tiga set permainan menerusi skor 17-21, 21-17 dan 21-11 sekaligus membolehkan Hong Kong mendahului 1-0.
Pertarungan kedua, Malaysia berhasil bangkit untuk mengikat Hong Kong 1-1 apabila Letshanaa Karupathevan merakamkan kemenangan “straight set” ke atas Saloni Samirbhai Mehta yang menduduki ranking ke-97 dunia menerusi skor 21-18 dan 21-18.
Bagaimanapun, Hong Kong kembali mendahului 2-1 setelah perseorangan lelakinya, Lee Cheuk Yiu yang diturunkan pada pertarungan ketiga mudah menumpaskan Justin Hoh secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-16.
Hong Kong mengesahkan kemenangannya pada pertarungan keempat menerusi beregu wanitanya, Yeung Nga Ting dan Yeung Pui Lam apabila berhasil mengatasi wakil Malaysia, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-14.
Pada pertarungan terakhir merangkap pelengkap jadual melibatkan beregu lelaki, Malaysia berhasil mengutip mata terakhir menerusi Man Wei Chong dan Tee Kai Wun hasil melakar kemenangan bergaya 21-13 dan 21-11 ke atas Hung Kuei Chun dan Lui Chun Wai.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengakhiri pertembungan menentang Hong Kong dengan keputusan tewas tipis 2-3.
Untuk perlawanan seterusnya peringkat kumpulan, Malaysia dijadualkan menentang skuad negara jiran tetangga merangkap pendahulu Kumpulan B iaitu Indonesia pada Khamis (13hb Februari) bermula jam 9.30 pagi waktu Malaysia.
Pada Selasa lalu, Indonesia membuka kempen BAMTC dengan bergaya apabila menumbangkan Hong Kong tanpa belas kasihan sekaligus mencatatkan kemenangan bersih 5-0.
Malaysia kini di tangga tercorot Kumpulan B – tempat ketiga. Sekiranya mahu mara ke peringkat seterusnya, Malaysia perlu menempatkan diri sekurang-kurangnya di tangga kedua Kumpulan B.
Untuk merealisasikannya, Malaysia perlu mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia dengan keputusan sekurang-kurangnya 3-2.
Featured Image: BAM