Ranking PSA: Sivasangari Kini Perseorangan Wanita No.8 Dunia

February 13, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perseorangan wanita skuasy negara, Sivasangari Subramaniam berhasil menempatkan dirinya di tangga kelapan dunia setelah merangkul gelaran juara di kejohanan Piala Gaynor Cincinnati 2025.

Itu merupakan kedudukan tertinggi pernah dihuni oleh pemain berusia 26 kelahiran Sungai Petani, Kedah sejak bergelar pemain skuasy profesional. 

Perkembangan itu hadir selepas badan induk, Persatuan Skuasy Profesional (PSA) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia untuk pemain lelaki dan wanita pada lewat petang Isnin (waktu Malaysia).

Kenaikan itu berpunca daripada sumbangan sebanyak 1,350 hasil menjuarai Piala Gaynor Cincinnati 2025 yang menjadikan purata mata terkumpulnya sebanyak 721 mata.

Sebagai rekod, Sivasangari muncul juara di kejohanan berkenaan selepas berjaya menumbangkan bekas perseorangan wanita No.3 dunia, Amanda Sobhy dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).

Pertarungan yang berlangsung sengit sebanyak lima set itu dimenangi oleh Sivasangari menerusi skor 11-7, 6-11, 7-11, 11-7 dan 11-4.

Menerusi laman sesawang rasmi PSA, untuk kejohanan seterusnya, Sivasangari disenaraikan beraksi di Terbuka New Zealand 2025 dan Terbuka Skuasy Australia 2025 yang berlangsung pada Mac kelak.

Featured Image: X Sivasangari

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd