
Wellington Pheonix FC yang berpangkalan di New Zealand sempat menyambar khidmat pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Francisco Geraldes pada Rabu – hari terakhir jendela perpindahan pertengahan musim Liga Australia.
Dimaklumkan, pemain tengah menyerang kelahiran Portugal berusia 29 tahun itu didapatkan secara pinjaman oleh Wellington Pheonix atau nama julukannya, The Nix daripada JDT untuk mengharungi baki saingan Liga Australia 2024-25.
Perpindahan Francisco Geraldes atau turut dikenali sebagai Chico dimaklumkan oleh Wellington Pheonix menerusi satu kenyataan berita yang disiarkan di laman sesawang rasminya serta dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya.
Menerusi kenyataan berita itu juga Wellington Pheonix turut mengepilkan gambar Chico diberikan jersi bernombor 12 untuk disarungnya sepanjang beraksi bersama skuad The Nix.
Dimaklumkan ketua jurulatih Wellington Pheonix, Giancarlo Italiano telah memburu pemain tengah menyerang sejak bulan lalu dan kini dirinya beruntung dapat menandatangani pemain yang berkaliber seperti Chico.
“Chico adalah apa yang kita mahukan. Dia merupakan pemain perancang kreatif. Dia boleh bermain sebagai pemain No.8 atau No.10, tetapi dia merupakan pemain yang efektif di posisi yang lebih tinggi.” kata jurulatih berusia 42 tahun terbabit.
Untuk pengetahuan, Chico tiba di Wellington Pheonix selepas beraksi juga secara pinjaman bersama kelab yang beraksi dalam divisyen kedua bola sepak Sepanyol iaitu CD Eldense – disertainya pada 31hb Ogos 2024.
Sebagai rekod, Chico yang diperkenalkan sebagai pemain JDT pada Januari 2024 berhijrah ke CD Eldense selepas meraih sebelas penampilan bersama JDT. Penampilan terakhirnya bersama skuad Harimau Selatan adalah ketika turun menentang Selangor FC pada perlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sebagai tambahan, Chico merupakan produk Sporting CP – kelab yang melahirkan antara pemain terbaik sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo. Ketika bersama skuad remaja Sporting CP, Chico pernah bermain bersama-sama bintang bola sepak dunia pada ketika ini seperti Bruno Fernandes, Joao Cancelo serta Joao Palhinha.
Featured Image: Wellington Pheonix FC