
Skuad Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Bercampuran Asia (BAMTC) 2025 yang berlangsung di Qingdao, China.
Ianya susulan Malaysia tewas di tangan skuad negara jiran tetangga, Indonesia dalam aksi terakhir peringkat peringkat Kumpulan B, pada hari ini.
Kekalahan itu disahkan selepas Malaysia tewas pertarungan keempat melibatkan beregu wanita dimana gandingan Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing tewas kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose menerusi skor 21-18, 7-21 dan 17-21.
Kekalahan di tangan beregu No.60 dunia itu sekaligus memberikan mata ketiga buat Indonesia dan mengesahkan kemenangan mereka menerusi skor 3-1 biarpun masih berbaki satu lagi pertarungan.
Terdahulu, perseorangan lelaki negara yang diturunkan pada pertarungan ketiga, Leong Jun Hao berjaya mengekang Indonesia daripada mencatatkan kemenangan lebih awal apabila berjaya menumbangkan lawannya, Yohanes Saut Marcellyno menerusi skor 11-21, 22-20 dan 21-12.
Kemenangan Jun Hao itu juga merupakan mata pertama diraih Malaysia dalam perlawanan ini setelah gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai serta Letshanaa Karupathevan tewas pertarungan pertama dan kedua masing-masing.
Soon Huat-Shevon dikejutkan oleh pasangan campuran Indonesia yang menghuni ranking ke-126 dunia, Dejan Ferdinansyah dan Siti Fadia Silva Ramadhanti menerusi tiga set permainan, 21-17, 13-21 dan 18-21.
Manakala Letshanaa pula tewas kepada Komang Ayu Cahya Dewi secara “straight set” menerusi skor 12-21 dan 19-21.
Ketika artikel ini ditulis, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sedang menentang gandingan ke-16 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin untuk pertarungan terakhir melibatkan Malaysia dan Indonesia.
Wei Chong-Kai Wun tewas set pertama di tangan Shohibul-Daniel menerusi skor 25-27.
Untuk makluman, saingan peringkat Kumpulan B menutup tirainya dengan Indonesia muncul juara kumpulan diikuti Hong Kong selaku naib juara sekaligus mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Malaysia pula terperosok di tangga tercorot Kumpulan B tanpa mengutip sebarang mata.
Sebagai perbandingan, edisi lalu yang berlangsung pada tahun 2023 menyaksikan skuad Malaysia muncul naib juara Kumpulan B dan berhasil mara ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, hasrat Malaysia ke peringkat separuh akhir buat julung kalinya lebur susulan tewas di tangan China dengan keputusan 2-3.
Featured Image: BAM