
Rekod kehadiran penonton ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyaksikan Selangor FC beraksi di “home” sendiri dalam pelbagai pertandingan menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Aksi Selangor FC melayan kunjungan Sri Pahang FC pada 8hb Februari lalu sekadar merekodkan kehadiran 3,023 penonton. Manakala pertembungan dengan Penang FC pada peringkat separuh akhir kedua MFL Challenge Cup pula hanya menarik kedatangan 3,310 orang.
Situasi tersebut berbeza jika dibandingkan dengan peringkat awal saingan musim 2024-25 dimana stadium berkapasiti dalam linkungan 10,661 tempat duduk itu merekodkan kehadiran penonton yang hampir “full house” samada dalam saingan Liga Malaysia mahupun Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr, Johan Kamal Hamidon menyedari akan penurunan rekod kehadiran penonton dan penyokong Selangor FC ke stadium sambil berkongsikan bahawa senario itu turut dialami kelab-kelab lain di seluruh negara.
“Malangnya, untuk tempoh 2-3 bulan baru-baru ini memang dia (penyokong) punya minat (ke stadium) agak kuranglah,” katanya ketika ditemui pihak media pada Rabu.
Menurut Dr. Johan, saingan Liga Malaysia yang menjadi bertambah panjang berikutan transisi yang dilakukan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) berkemungkinan menjadi salah punca kepada berkurangnya minat dalam kalangan penyokong sekaligus membawa kepada penurunan rekod kehadiran ke stadium.

“Ianya mungkin kerana (tempoh) saingan (liga) lebih panjang, tempoh transisi ini, semua orang perlu hadapinya, Selangor FC dan juga kelab-kelab lain dan juga liga,” jelasnya.
“Bila kita jumpa tarikh liga baharu, ianya (kembali) menjadi (saingan) kalendar 12 bulan, harapnya (perkara) itu boleh mengurangkan isu yang kita hadapi sekarang ini daripada segi penurunan kedatangan (penyokong),” ujarnya.
Tambahnya lagi, pertambahan tempoh saingan liga dari 12 bulan kepada 17 bulan pada musim ini bukan sahaja menjejaskan para penyokong bahkan pemain-pemain serta pihak pengurusan.
“Selalunya kita punya bajet untuk 12 bulan tetapi kebanyakan kelab kena mendanainya untuk 17 bulan, jadi oleh sebab itu banyak isu timbul berpunca daripada sebab ini,”
“Saya tak nak sebutlah tetapi daripada segi isu-isu kewangan dan sebagainya, saya percaya salah satu sebab kerana awak kena (berbelanja) lebih 5-6 bulan gaji untuk musim yang sama, jadi sudah tentu di sampai di satu tahap awak terjejas,”
“Jadi bila ada banyak isu, benda ni negatif, penyokong pun nampak negatif, kemudiannya (saingan) panjang, ada jurang 2-3 minggu, jadi sudah tentu semua itu menjadi (faktor) penyumbang, banyak faktor, tetapi saya fikir transisi itu adalah salah satu sebablah menyebabkan mungkin daripada segi (rekod) kehadiran menurunlah,” katanya.
Sebagai rekod, MFL mengumumkan Liga Malaysia 2024-25 memulakan saingannya pada 10hb Mei 2024 dan dijangka melabuhkan tirai pada penghujung April 2025.
MFL melakukan transisi itu untuk menjadikan musim kalendar liga bola sepak tanah air selari dan seragam dengan kalendar pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bermula dari Ogos sehingga Mei – sama seperti saingan bola sepak bagi majoriti negara di eropah.
Featured Image: Selangor FC