
Setelah terlepas peluang untuk menjulang trofi Piala FA serta tersingkir daripada saingan Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Selangor FC kini mengalih tumpuannya untuk menjulang trofi dengan merangkul kejuaraan MFL Challenge Cup 2024-25.
Hasrat untuk merangkul kejuaraan terbabit dilaungkan dengan penuh bersemangat oleh kapten skuad berjulukan Gergasi Merah, Safuwan Baharudin sebagai hadiah untuk para penyokong.
Selain itu, kejuaraan ini juga diburu bagi mengubati kekecewaan untuk meraih kejuaraan Piala FA 2024-25 setelah tumpas 1-6 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir yang berlangsung pada Ogos 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Ya, kami semua dahagakan untuk menjuarai (MFL) Challenge Cup ini,”
“Kami semua berhutang banyak kepada penyokong-penyokong,”
“Saya fikir saya telah berada di sini selama lima tahun dan ini merupakan penampilan dalam perlawanan akhir yang kedua kami pada musim ini,”
“Kami telah gagal (perlawanan akhir) pada masa lalu bertemu JDT tetapi saya fikir sepertimana saya katakan kepada rakan-rakan,”
“Saya sentiasa merasakan apabila ada peluang untuk memenangi sesuatu, kita patut menang,” ujar Safuwan dalam sidang media praperlawanan akhir 1 MFL Challenge Cup pada Jumaat.
Terdahulu, skuad berjulukan Gergasi Merah ini berhasil mara ke perlawanan akhir Challenge Cup selepas melakar kemenangan 2-0 secara agregat ke atas Penang FC pada peringkat separuh akhir.
Hasrat Selangor FC bimbingan Katsuhito Kinoshi untuk menjulang trofi ini akan dicabar oleh juara bertahan, PDRM FC.
Untuk makluman, kedua-duanya dijadualkan berrentap dalam perlawanan akhir yang berlangsung secara timbal balik pada 15hb dan 22hb Februari masing-masing.
Featured Image: MFL