Tak Makan Dek Pujuk, Joao Pedro Tetap Pilih Sertai Kelab No.9 Liga Vietnam Secara Pinjaman
February 17, 2025 Hafizuddin Omar

Penghuni tangga ketiga Liga Super, Sabah FC terpaksa akur kehilangan penyerang importnya, Joao Pedro biarpun masih mempunyai baki kontrak sehingga penghujung April 2025.

Ianya susulan pemain berusia 24 tahun berkenaan menerima tawaran untuk beraksi secara pinjaman bersama kelab yang berada di  tangga kesembilan Liga Vietnam iaitu Ho Chi Minh City FC – kelab yang sama disertai pemain naturalisasi skuad kebangsaan, Endrick dos Santos.

Pengurus Besar Sabah FC, Md. Joh WId memaklumkan pihak pengurusan telah memujuk Joao untuk kekal bersama skuad berjulukan Sang Badak namun Joao kekal dengan keputusannya untuk menerima tawaran terbabit.

“Keputusan ini dibuat setelah Joao Pedro menerima tawaran dari kelab Vietnam tersebut. Pihak pengurusan Sabah FC telah berusaha untuk memujuk beliau supaya terus bersama pasukan, namun Joao Pedro tetap dengan keputusannya untuk menerima tawaran tersebut.”

“Setelah perbincangan dengan Ketua Jurulatih dan team kejurulatihan, Sabah FC bersetuju untuk melepaskan beliau.” kata Md. Joh Wid menerusi satu kenyataan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Joao Pedro atas sumbangannya kepada Sabah FC. Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam kariernya di Ho Chi Minh City FC.” tambahnya.

Untuk makluman, pemergian Joao Pedro boleh disifatkan sebagai sirih pulang ke gagang memandangkan Liga Vietnam merupakan kancah yang disertainya sebelum datang menyertai Sabah FC pada Ogos 2024.

Ketika itu, Joao Pedro kelahiran Pelotas, Brazil diberikan kontrak selama sembilan bulan dan kedatangannya juga adalah untuk menggantikan Ramon Machado yang berpindah ke Araz-Nakhchivan yang berentap dalam Liga Azerbaijan.

Sebagai tambahan,ketika beraksi dalam Liga Vietnam sebelum ini,  Joao Pedro merupakan pemain Viettel FC – kelab rantau asia tenggara yang pertama disertai dalam kariernya.

Sepanjang bersama Sabah FC, Joao Pedro telah meledak sebanyak lapan gol serta mencipta satu bantuan gol daripada 15 penampilan yang diraihnya.

Featured Image: Sabah FC

Komen