MFL Challenge Cup: 10 Pemain Selangor FC Tumbangkan PDRM FC 
February 15, 2025 Hafizuddin Omar

Selangor FC tetap berjaya melakar kemenangan pada aksi pertama perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2024-25 biarpun terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sahaja bermula minit ke-11 permainan.

Ianya gara-gara kapten pasukan, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin selepas membuat semakan menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) – melakukan kekasaran ke atas penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri.

Terdahulu, skuad berjulukan Gergasi Merah bermula garang dengan meledak jaringan pembukaan seawal minit ke-4 menerusi pemain sayapnya, Alvin Fortes. Selang tujuh minit selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Fortes berhasil menggandakan jaringan buat Selangor FC selepas meledak satu lagi gol. 

Bagaimanapun, PDRM FC bimbingan P. Maniam berjaya bangkit, mengejar serta menyamakan kedudukan apabila rembatan Shahrel Fikri dan Badrol Affendy berjaya masuk ke dalam gawang pada minit ke-28 dan ke-39 masing-masing.

Kedudukan 2-2 itu berpanjangan sehingga Zamzaidi Katimin meniup wisel menamatkan aksi pada separuh masa pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Bagaimanapun, bersambung aksi separuh masa kedua, Selangor FC tidak menunggu lama untuk kembali mendahului apabila percubaan oleh penyerang skuad kebangsaan Jordan, Ali Olwan berhasil menemui belakang jaring gawang lawan pada minit ke-51.

PDRM FC merangkap juara bertahan cuba meningkatkan asakan untuk menjelmakan satu lagi jaringan penyamaan. namun ianya tidak menjadi kenyataan sehingga Zamzaidi Katimin meniup wisel menamatkan aksi pertama perlawanan akhir ini – mengesahkan kemenangan Selangor FC dengan keputusan 3-2.

Sebagai rekod, seramai 3,768 orang direkodkan hadir untuk menyaksikan pertembungan sengit bagi aksi pertama perlawanan akhir MFL Challenge Cup ini.

Untuk aksi kedua perlawanan akhir Challenge Cup, ianya dijadualkan berlangsung pada 22hb Februari (Sabtu) di venue yang sama, Stadium MBPJ.

Featured Image: Selangor FC

Komen