Bekas Pemain Tengah Menyerang Import Perak FC Pilih Kelab Divisyen 2 Serbia

February 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang dari Serbia, Luka Milunovic yang mewarnai kancah Liga Malaysia bersama Perak FC dari Julai 2023 hingga Disember 2024 kini melanjutkan karier bola sepaknya bersama kelab baharu.

Perpisahan pemain berusia 32 tahun dengan skuad berjulukan The Bos Gaurus membuatkan sebilangan penyokong dan peminat tertanya-tanya akan destinasi yang seterusnya.

Akhirnya, teka-teki itu terjawab apabila sebuah kelab yang beraksi dalam divisyen kedua Liga Serbia iaitu FK Vozdovac mengumumkan kemasukan Luka sebagai pemain baharunya menerusi satu video berdurasi 22 saat.

Penyertaan Luka itu juga diumpamakan sebagai sirih pulang ke gagang memandangkan pemain berketinggian 1.80 meter (m) itu pernah bersama mereka pada musim 2018-19 sebelum berhijrah ke Liga Malaysia menyertai Melaka United FC dan Sabah FA.

Sebagai rekod, sepanjang bersama Perak FC, Luka menjadi pemain berstatus tonggak pasukan dengan membuat 29 penampilan disamping menjaringkan tujuh gol dan mencetak empat bantuan gol.

Sebagai tambahan, Vozdovac kini berada di tangga keenam liga daripada 16 pasukan dengan mempunyai sembilan lagi baki perlawanan untuk musim ini.

Featured Image: Perak Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd