Neymar Jaringkan Gol Pertama Selepas 16 Bulan

February 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain bintang bola sepak Brazil, Neymar Jr. yang berpindah semula ke kelab zaman remajanya, Santos FC berjaya mencetak gol pertamanya selepas kemarau jaringan selama 16 bulan.

Penyerang berusia 33 tahun menjelmakan gol tersebut dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-14 ketika turun mewakili Santos menentang Agua Santa dalam Kejohanan Paulista.

Gol itu menyumbangkan kepada kemenangan Santos selain jaringan oleh Thaciano dan Guilherme dengan keputusan 3-1 ke atas Agua Santa.

Sebagai rekod, Oktober 2023 merupakan kali terakhir Neymar dilihat menjaringkan gol ketika beraksi bersama Al Hilal yang beraksi dalam kancah Liga Pro Saudi (SPL).

Bagaimanapun, kecederaan lutut yang serius telah membataskannya kepada hanya tujuh penampilan sejak menyertai kelab berjulukan Al-Za’eem berkenaan sekitar Ogos 2023.

Untuk makluman, Neymar yang merupakan bekas pemain FC Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan kembali ke kelab zaman remajanya, Santos pada Januari lalu.

Sementara itu, kontrak lumayannya bersama Al Hilal pula ditamatkan dengan persetujuan secara bersama.

Menurut laporan media Brazil, kontrak Neymar bersama Santos berjangka masa pendek – sehingga penghujung Jun 2025.

Featured Image: Santos FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd