JDT Kutip RM6.22 Juta Hasil Beraksi Di Peringkat Liga ACLE 2024-25
February 19, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab tunggal dari Malaysia yang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024-25 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kutipan wang tunai yang lumayan selepas menamatkan kempen Peringkat Liga (League Stage).

Sebanyak lapan perlawanan diharungi JDT yang turut dijuluki sebagai Harimau Selatan pada peringkat terbabit dan secara keseluruhannya, mereka meraih wang tunai sebanyak AS$1,400,000 atau bersamaan sekitar RM6,224,400.00.

Secara pecahannya, AS$800,000 (RM3,556,800.00) diberikan oleh penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), berikutan mengambil bahagian dalam kejohanan ini – turut diberikan kepada 23 kelab lain yang bertanding.

Namun begitu, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu meraih tambahan sebanyak AS$400,000 (RM1,778,400.00) sebagai Bonus Prestasi (Performance Bonus) hasil melakar empat kemenangan pada Peringkat Liga.

Kemenangan itu dilakar JDT ketika bertemu Shanghai Shenhua (3-0), Ulsan HD (3-0), Central Coast Mariners (2-1) dan Pohang Steelers (5-2).

Penganjur turut memberikan tambahan sebanyak AS$200,000 (RM889,200.00) sebagai Subsidi Perjalanan (Travel Subsidy) berikutan perlu beraksi sebanyak empat kali di tempat lawan – Stadium Pudong, Stadium Yongin Mieru, Pusat Sukan Olimpik Jinan dan Stadium Central Coast.  

Tidak terhenti setakat itu, kantung kewangan JDT bakal bertambah lagi selepas mereka mengesahkan tempat ke peringkat Pusingan 16 ACLE, semalam, dimana penganjur telah menjanjikan wang tunai sebanyak AS$200,000 (RM889,200.00) bagi kelab yang beraksi di peringkat itu.

Untuk makluman, JDT mengesahkan tempat ke Pusingan 16 selepas menamatkan saingan Kumpulan A Peringkat Liga, dalam kelompok 8 terbaik, tangga keempat daripada 12 kelab yang bertanding dengan mengumpul 14 mata (4 menang, 2 seri & 2 kalah) daripada keseluruhan lapan perlawanan.

Sebagai tambahan, kedudukan itu menyaksikan JDT akan bertemu semula Gwangju, penghuni tangga kelima Kumpulan A Peringkat Liga, pada Pusingan 16 yang akan dimainkan secara timbal balik.

Featured Image: AFC

Komen