Johor Darul Ta’zim Melangkah Ke Pusingan 16 ACLE 2024-25

February 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok lapan terbaik Kumpulan A Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024-25 sekaligus menempah tiket kemaraan ke Pusingan 16 bagi kejohanan itu.

JDT berjulukan Harimau Selatan mengesahkan kedudukan dalam kelompok itu dengan menghuni tangga keempat daripada 12 kelab yang bertanding selepas mengharungi lapan perlawanan.

Pengesahan itu hadir selepas anak-anak buah Hector Bidoglio melakar kemenangan bergaya 5-2 ke atas kelab dari Korea iaitu Pohang Steelers dalam perlawanan terakhir Peringkat Liga Kumpulan A ACLE di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.

https://twitter.com/OfficialJohor/status/1891865582296760346

Menyumbang kepada kemenangan besar itu adalah jaringan daripada lima orang pemain iaitu Oscar Arribas (37’), Bergson da Silva (52’), Arif Aiman Hanapi (56’), Jese Rodriguez (90+7’) dan Jorge Obregon (90+15’).

Sementara itu, dua jaringan saguhati oleh Pohang Steelers bimbingan Park Tae-ha pula dihasilkan oleh Lee Ho-jae (27’) dan Kang Hyeon-je (80’).

Kejayaan JDT menumbangkan Pohang Steelers, juara K-League 1 sebanyak lima kali, turut disaksikan seramai 34,590 penonton yang hadir ke SSI – rekod kehadiran tertinggi sejak SSI dibuka pada tahun 2020.

https://twitter.com/OfficialJohor/status/1892027317813465533

Untuk makluman, JDT menamatkan saingan Kumpulan A di tangga keempat selepas mengutip 14 mata hasil mencatatkan empat kemenangan dan dua seri selain hanya tewas sebanyak dua kali sahaja.

Pada peringkat seterusnya, JDT telah diatur untuk bertemu kelab yang menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kelima iaitu Gwangju FC dari Korea bagi memburu slot ke peringkat suku akhir.

Sebagai tambahan, ini merupakan kali kedua JDT melakar kemaraan ke peringkat kalah mati dalam saingan bola sepak elit benua asia selepas melayakkan diri ke Pusingan 16 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun 2022.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd