Vinicius Jr Kini Pemilik Kelab Bola Sepak Di Portugal
February 19, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain berstatus bintang Real Madrid, Vinicius Jr. yang berusia 24 tahun kini bukan sahaja merupakan pemain bola sepak bahkan turut bergelar pemilik kelab bola sepak.

Perkembangan ini hadir selepas pelbagai media di eropah melaporkan penyerang kelahiran Brazil yang telah menyumbat masuk 16 gol buat Real Madrid dalam pelbagai saingan musim ini membeli kelab yang beraksi dalam divisyen kedua Portugal iaitu FC Alverca.

Pembelian itu dijayakan menerusi sebuah konsortium, terdiri daripada dirinya dan pelabur Sepanyol dan Brazil, yang membeli majoriti pegangan kelab berkenaan daripada pemilik terdahulu, Ricardo Virtin.

Untuk makluman semua, FC Alvera ditubuhkan sekitar 85 tahun lalu merupakan sebuah kelab yang berpangkalan di ibu negara Portugal iaitu Lisbon.

Mereka menggunakan Kompleks Sukan FC Alverca sebagai gelanggang rasminya dengan kapasiti 7,705 penonton.

FC Alverca turut dikenali dengan nama julukan “O maior do Ribatejo” yang bermaksud Gergasi Ribatejo pernah beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak Portugal selama lima musim dalam sejarahnya. 

Pada ketika ini, FC Alverca berada di tangga kedua Liga Portugal 2 dengan kutipan sebanyak 38 mata selepas mengharungi 22 perlawanan – berbaki 12 perlawanan.

Dua kelab yang menamatkan saingan Liga Portugal 2 di tangga kedua teratas akan meraih promosi ke saingan Primeira Liga – divisyen pertama bola sepak Portugal.

Untuk pengetahuan semua, Vinicius menjadi pemain kedua daripada skuad Real Madrid pada ketika ini menjadi pemilik kelab bola sepak selepas pemain bintang Perancis, Kylian Mbappe membeli dan menjadi pemilik majoriti sebuah kelab divisyen kedua negara kelahirannya iaitu SM Caen.

Featured Image: Real Madrid CF & FC Alverca Futebol SAD

Komen