Jacob Kiplimo Manusia Pertama Catat Rekod Larian Separuh Maraton Bawah 57 Minit
February 20, 2025 Hafizuddin Omar

Pelari Uganda yang berusia 24 tahun, Jacob Kiplimo berjaya mengukir namanya selaku manusia pertama yang menamatkan acara larian separuh maraton di bawah masa 57 minit.

Rekod mengagumkan itu dihasilkan Jacob ketika menyertai acara larian sejauh 21 kilometer (km) pada perlumbaan Mitja Marató Barcelona di Sepanyol pada Ahad lalu dengan catatan masa 56 minit dan 42 saat.

Pada masa yang sama, catatan masa itu juga turut mengangkatnya sebagai pelari separuh maraton terpantas susulan mengatasi catatan masa pemegang rekod terdahulu iaitu pelari Ethiopia, Yomif Kejelcha.

View this post on Instagram

A post shared by World Athletics (@worldathletics)

Untuk makluman semua, Yomif, 27 tahun, memegang rekod tersebut susulan mencatatkan masa larian 57 minit dan 30 saat ketika mengambil bahagian dalam perlumbaan Medio Maraton Valencia, Sepanyol sekitar penghujung Oktober tahun lalu.

Ini bermakna, masa larian yang direkodkan oleh Jacob adalah 49 saat lebih laju berbanding Yomif.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan keenam digapai oleh Jacob dalam acara separuh maraton selepas menjuarai perlumbaan NYC Half 2023, Great North Run 2022, Ras Al Khaimah Half Marathon 2022, Meia Maratona de Lisboa 2021, Kejuaraan Separuh Maraton World Athletics 2020 dan Kampala Half Marathon 2019.

Jacob memaklumkan ini merupakan pertandingan terakhir disertainya sebelum melakukan debut adalam acara maraton (42km) di London pada 27hb April kelak.

Featured Image: World Athletics

Komen