
Penganjur bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) tampil mengesahkan mengenai status Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Giorgio Pompili Rossi kepada pihak umum.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini, MFL, mengesahkan Giorgio dari Itali tidak lagi bersama mereka.
“Kedua-dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan seterusnya,” tulis kenyataan oleh MFL tanpa menyatakan alasan kepada perpisahan Giorgio dan MFL.
Ini menyaksikan jodoh Giorgio yang diperkenalkan oleh MFL sebagai CEO-nya pada 5hb September 2024 hanya bertahan sekitar lima bulan sahaja.
Sepatutnya, Giorgio menggalas jawatan CEO MFL dengan kontrak selama empat tahun.
Kedatangannya pula adalah untuk menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontraknya bersama MFL pada 31hb Ogos 2024.
Terdahulu, berita mengenai Giorgio tidak lagi menjawat jawatan CEO MFL tersebar dan menjadi bahan perbincangan peminat bola sepak tempatan selepas didedahkan oleh wartawan Astro Arena, pada Rabu.
Sementara itu, MFL dalam kenyataan yang sama memaklumkan operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd. Shazli Shaik Mohd.