Suka Atau Tidak, Bola Sepak Sentiasa Jadi Sukan Rakyat – Hannah Yeoh 
February 21, 2025 Hafizuddin Omar

Sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sepertimana kebanyakan peminat sukan tempatan yang lain turut mempunyai persoalan yang sama – mengapa kerajaan sentiasa memberikan sokongan terutamanya dalam bentuk kewangan kepada sukan bola sepak?

Ini dapat disaksikan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menyalurkan dana sebanyak RM30 juta – meningkat sebanyak RM15 juta berbanding pengumuman awalnya – kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12hb Januari lalu.

Sebelum itu, Anwar juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada kepada FAM untuk skuad bola sepak kebangsaan selepas berhasil melakar keputusan seri 3-3 ketika menentang Republik Korea di saingan Piala Asia 2023 pada Januari 2024.

Pada pentadbiran yang lalu juga, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan untuk menunjukkan sokongan kepada bola sepak tanah air dengan menyumbangkan sebanyak RM10 juta kepada FAM.

“Setiap kali Perdana Menteri buat pengumuman untuk membantu bola sepak Malaysia, ada gosip, semua persatuan sukan yang lain tidak gembira kerana dikatakan bola sepak tidak memenangkan kita sebarang medal tetapi kerajaan bagi banyak duit untuk bola sepak,” katanya semasa berucap dalam Bengkel Pembangunan Sukan Olimpik di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Khamis.

Bagaimanapun, Hannah merangkap Ahli Parlimen Segambut mendapat jawapan terhadap persoalan itu apabila terlibat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Semasa saya pegang portfolio lain saya pun (tertanya-tanya) kenapa kerajaan selalu bagi sokongan kepada bola sepak? Tetapi selepas saya masuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya lihat minat di (peringkat) akar umbi itu, dimana-mana sahaja kita pergi (termasuk) tayangan skrin besar semua itu,” 

“Hanya dua sukan yang mampu menarik minat orang Malaysia untuk duduk di depan TV tak bergerak ataupun pergi ke stadium, satu (daripadanya) adalah badminton dan satu (lagi) adalah bola sepak, itu adalah realiti, kenyatan,” tegasnya.

Perkara itu dikuatkan lagi ketika Hannah turun ke program melawat kawasan pedalaman termasuk kampung-kampung Orang Asli.

“Oleh sebab itu, bila kita pergi program masuk kampung, saya masuk kampung Orang Asli, saya tanya budak (kanak-kanak) Orang Asli, nak main sukan apa? Bola sepak (dan) sepak takraw (jawabnya), sepak takraw pun kita sedang bantu sekarang,”

“Jadi, realitinya bila kanak-kanak dan belia menonton TV, (tonton) Piala Dunia, Liga Perdana Inggeris, semua kejohanan bola sepak antarabangsa ini, dia memberikan inspirasi kepada atlet (muda) kita,” jelasnya.

“Dulu bola sepak akses kepada dana datang daripada ‘sin tax’ (cukai mudarat) seperti rokok, semua itu telah ditarik balik jadi bola sepak sekarang tidak ada dana kalau kita tak ada intervensi untuk membantu, ini untuk membantu menghidupkan impian kanak-kanak,” tambahnya lagi.

Selain daripada bantuan daripada kerajaan, Hannah berkata bola sepak turut dibantu oleh badan induk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selari dengan saiz industrinya di negara ini.

“Walaupun Malaysia, sekarang ini hanya mampu bergerak naik untuk ranking (dunia) tetapi impian itu (Piala Dunia) ada dalam kalangan rakyat Malaysia, minat itu ada,”

“FIFA juga setiap tahun memberikan geran kepada FAM, jadi FIFA juga melabur banyak duit (kepada bola sepak Malaysia), industri ini besar (melibatkan) jurulatih, kelab, di semua peringkat besar untuk bola sepak, jadi, bola sepak merupakan sukan popular, sukan rakyat, yang itu tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

Komen