
Saingan bola sepak musim ini belum melabuhkan tirainya namun penghuni ke-12 Liga Super iaitu Negeri Sembilan FC sudah membuat persiapan untuk mengharungi saingan musim hadapan.
Persiapan awal itu hadir dengan mengumumkan menandatangani perjanjian kerjasama penajaan membabitkan penajaan kit bersama Warrix – sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan terkenal dari Thailand.
Menerusi perjanjian ini, Warrix muncul sebagai rakan teknikal rasmi selama dua tahun, bagi saingan bola sepak musim 2025-26 dan 2026-27, dengan penajaan bernilai RM1.7 juta merangkumi persalinan untuk skuad utama, skuad B-23, skuad B-20 dan skuad B-18 yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja membabitkan penajaan kit rasmi pasukan, malah turut memberikan manfaat dari segi pemasaran dan komersil yang amat diperlukan untuk kita terus berdaya saing dalam arena bola sepak tempatan yang kian mencabar.”
“Pemilihan WARRIX sebagai penaja kit rasmi juga seiring dengan matlamat kelab untuk memperkasa pembangunan perniagaan, yang juga merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan semula kelab,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus.

Sementara itu, CEO Warrix Sport Public Company Ltd (Warrix), Wisan Wanasaksrisakul melahirkan keterujaannya dengan kerjasama bersama skuad berjulukan Hoben Jang Hoben ini dan mengharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Ini merupakan kali pertama kerjasama seumpama ini dijalinkan dengan kelab bola sepak di Malaysia selepas kali terakhir kami berada dalam pasaran Malaysia lima tahun lalu.”
“Saya, bagi pihak Warrix, amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Negeri Sembilan FC dan berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat mengembangkan pasaran Warrix di Malaysia, malah membantu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan,” katanya dalam satu ucapan.
Dimaklumkan, Negeri Sembilan akan tampil dengan jersi yang menggunakan warna kebanggaan negerinya iaitu merah, kuning dan hitam bagi jersi utama dan kedua. Selain itu, jersi ketiga juga akan kembali diperkenalkan untuk musim akan datang.
Sebagai rekod, selain Negeri Sembilan, Warrixx juga merupakan penaja rasmi bagi pasukan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja, Tampines Rovers dari Singapura, serta pasukan kebangsaan Thailand.
Featured Image: Negeri Sembilan FC | Warrix