JDT, Sri Pahang Rebut Kejuaraan Piala Malaysia Pada 12 April Di SNBJ
February 22, 2025 Hafizuddin Omar

Perebutan kejuaraan bagi Piala Malaysia 2024-25 antara Johor Darul Ta’zim dan Sri Pahang FC ditetapkan pada 12hb April 2025 (Sabtu) bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengesahan itu hadir menerusi badan pengelola, Malaysian Football League (MFL) yang mengumumkan tarikh tersebut menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.

Menurut MFL, penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia 2024-25 serta penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE). 

Kelayakan skuad berjulukan Harimau Selatan itu ke pusingan 16 menyaksikan mereka akan beraksi di peringkat tersebut secara timbal balik bermula pada 4hb Mac 2025. 

Sekiranya JDT bimbingan Hector Bidoglio berjaya ke pusingan suku akhir, lapan pasukan terbaik ACEL akan berentap di venue berpusat bertempat di Arab Saudi yang dijangka berlangsung pada 25hb April 2025.

Tambah pihak MFL lagi, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia itu dilihat akan memberi ruang kepada JDT untuk mengharungi peringkat kalah mati ACLE di mana penglibatan JDT di pentas antarabangsa cukup penting dalam menyumbang mata bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab AFC.

MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik Sri Pahang FC.

Selain itu, antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12hb April 2025 itu juga adalah ketersediaan venue SNBJ yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti. 

SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas tamatnya perlawanan akhir Piala Malaysia, menjadikan 12hb April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir.

Perubahan tarikh ini juga akan melibatkan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super minggu ke-25 dan ke-26.

Komen