Negeri Sembilan FC Lanjut Kontrak Pemain Jepun – 1 Tahun
Hafiz Omar

Pasukan yang menghuni tangga ke-12 Liga Super iaitu Negeri Sembilan FC nampaknya sudah memulakan pembentukan skuadnya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-26.
Skuad berjulukan The Jangs ini tidak menunggu sehingga saingan liga musim ini melabuhkan tirainya untuk mengumumkan melanjutkan kontrak salah seorang pemain importnya dari Jepun iaitu Takumi Sasaki.
Menerusi makluman daripada pihak kelab, pemain tengah menyerang yang berusia 26 tahun itu diberikan lanjutan selama setahun yang menyaksikannya kekal bersama Negeri Sembilan FC sehingga 30hb April 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, Sasaki telah menetapkan piawaian untuk pemain-pemainya sejak tiba di negeri tanah beradat itu pada tahun lalu..
Bukan itu sahaja, Faliq turut memuji dedikasi, etika kerja dan semangat tidak berbelah bahagi yang ditonjolkan oleh Sasaki.
Oleh demikian, pihaknya sangat teruja untuk mengejar cita-cita yang mahu digapai bersama-sama Sasaki.
Sebagai rekod, Sasaki menyertai Negeri Sembilan FC daripada Ehime FC – kelab divisyen ketiga Jepun – pada April 2024.
Sepanjang bersama Negeri Sembilan FC, pemain kelahiran Miyagi dan mempunyai ketinggian 1.68 meter (m) ini telah merekodkan 23 penampilan serta menjaringkan satu gol dan mencetak tiga bantuan gol.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club