JDT Sebaris Bayern Munich & Dinamo Zagreb – Juarai Liga 11 Kali Berturut-Turut

February 25, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengesahkan kejuaraan liga domestik iaitu Liga Super buat kali kesebelas berturut-turut pada Isnin selepas menumpaskan Perak FC pada perlawanan ke-20 pada musim ini.

Pengesahan kejuaraan itu dijelmakan menerusi kemenangan 2-0 hasil jaringan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon pada babak pertama dan kedua masing-masing dalam perlawanan yang dihadiri 12,517 penonton di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ini merupakan satu rekod baharu dalam kancah bola sepak Malaysia selain merupakan trofi ke-29 dirangkul kelab berjulukan Harimau Selatan ini sejak dikemudi oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, pada tahun 2012.

Menariknya, pencapaian JDT meraih 11 kejuaraan liga kebangsaan berturut-turut membolehkannya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan dua kelab eropah iaitu FC Bayern Munich dan GNK Dinamo Zagreb.

Bayern Munich atau digelar The Bavarians merekodkan 11 kejuaraan Bundesliga berturut-turut apabila muncul juara tertinggi bola sepak Jerman itu dari musim 2013-14 hingga 2022-23.

Sementara itu, Dinamo Zagreb yang beraksi dalam kancah bola sepak Croatia pula melengkapkan 11 kejuaraan liga kebangsaannya pada musim 2015-16 setelah menjuarainya secara berturut-turut dari musim 2005-06.

Selain dua kelab berkenaan, Persekutuan Sejarah & Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) serta Res.Sport.Soccer Statistics Foundation (RSSSF) menyenaraikan empat lagi kelab bola sepak di atas dunia ini yang merekodkan 11 kejuaraan liga kebangsaan masing-masing secara berturut-turut.

Empat kelab hebat berkenaan ialah FC Istiklol (Tajikistan / 2014-2024), Nauti FC (Tuvalu / 1980-1990), Al-Ansar (Lubnan / 1990-1999) dan Loto Ha’apai (Tonga 1998-2008).

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd