Noor Azman Kekal Sebagai Setiausaha Agung FAM – Joehari Ayub
February 26, 2025 Hafizuddin Omar

Datuk Noor Azman Rahman nampaknya kekal sebagai Setiausaha Agung bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah kepimpinan baharu bagi penggal 2025-2029.

Perkembangan itu hadir selepas Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub mengumumkan pengekalan Noor Azman dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif pada Selasa di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sebagai rekod, Noor Azman yang merupakan mantan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Melaka FA) mula menjawat jawatan Setiausaha Agung pada 1hb September 2022 menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Saifuddin Abu Bakar.

Untuk pengetahuan, antara tanggungjawab Setiausaha Agung adalah melaksanakan keputusan yang diluluskan Kongres dan Jawatankuasa Eksekutif dengan mematuhi arahan Presiden dan menghadiri, menguruskan serta menyusun minit Kongres dan mesyuarat-mesyuarat selain menguruskan surat-menyurat FAM. 

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung turut bertanggungjawab menguruskan Sekretariat Agung; mencadangkan kakitangan pengurusan kepada Presiden serta menyediakan jawatankuasa pemilihan dengan sokongan logistik dan operasi untuk pemilihan.

Sementara itu, Joehari dalam mesyuarat yang sama turut mengekalkan Dato’ Haji Ismail Karim, Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), sebagai Bendahari FAM.  

Menurut Statut FAM, Presiden boleh melantik atau memecat Setiausaha Agung dan Bendahari atas nasihat Jawatankuasa Eksekutif.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen