Aidil Sharin Mempunyai Baki 1 Tahun Kontrak Bersama Kuching City FC
Hafiz Omar

Jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak dilihat bakal terus mengemudi kelab berpangkalan di kepulauan Borneo iaitu Kuching City FC untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-26.
Pada masa yang sama, jurulatih berusia 47 tahun berkenaan turut berazam untuk meneruskan khidmatnya mengemudi skuad berjulukan The Cats sehingga tamat kontraknya – penghujung musim hadapan.
Bukan itu sahaja, Aidil juga mahu memberikan tumpuan kepada Kuching City untuk menamatkan saingan Liga Super 2024-25 di kedudukan terbaik.
Pada saat ini, Kuching City bimbingan Aidil Sharin sedang menghuni kelompok lima terbaik Liga Super dengan mengumpul 24 mata selepas mengharungi 18 perlawanan sepanjang musim ini.

“Saya masih berkontrak dengan Kuching City, saya fokus dengan Kuching City dan pada detik ini saya tidak mahu fikirkan (mengenai) tawaran di luar atau lain,”
“Yang paling penting saya ada setahun lagi kontrak dengan Kuching City dan saya akan tunaikan kontrak saya lagi satu musim tahun depan,” katanya menerusi satu video temu bual pendek yang dikongsikan sendiri oleh Kuching City.
Terdahulu, timbul khabar angin yang mengatakan Aidil bakal meninggalkan Kuching City selepas dirinya memaklumkan terdapat kelab lain yang datang menawarkan kontrak kepadanya bagi musim akan datang.
Pendedahan itu dibuat oleh Aidil selepas mengikat Terengganu FC dengan keputusan 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Bagaimanapun, Aidil menjelaskan tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu lagi disamping enggan mendedahkan kelab berkenaan.