Terbuka Jerman: Arif-Roy King Mara, Empat Beregu Lelaki Kandas
February 26, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.4 negara, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King memulakan kempen Terbuka Jerman 2025 dengan langkah kanan apabila berhasil menumpaskan gandingan William Kryger Boe dan Christian Faust Kjær.

Kemenangan ke atas wakil Denmark yang menghuni ranking ke-42 dunia itu sekaligus memberikannya tiket ke pusingan 16 bagi salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 terbabit.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak datang bergolek dengan mudah buat Arif-Roy King yang turut diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan.

Mereka terlebih dahulu tewas pada set pertama menerusi skor 21-23 sebelum bangkit meraih kemenangan pada set kedua dengan pungutan mata 21-13 – membawa pertarungan ke set penentuan.

Pada set penentuan, Arif-Roy King memastikan langkah kemaraannya tidak dapat disekat William-Christian dengan meneruskan rentak permainannya sebelum mengakhiri pertarungan melalui skor 21-12.

Sebagai rekod, tiga set pertarungan terbabit berlangsung hampir satu jam lamanya sebelum Arif-Roy King diangkat sebagai pemenang.

Peringkat seterusnya, Arif-Roy King akan menantikan cabaran samada daripada beregu Chinese Taipei, Chang Ko-Chi dan Po Li-Wei (No.105 dunia) atau beregu Perancis, Mael Cattoen dan Lucas Renoir (No.71 dunia).

Sementara itu, hari pertama Terbuka Jerman 2025 turut menyaksikan perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray mencatatkan kemenangan ke atas Clara Azurmendi dari Sepanyol pada peringkat kelayakan dan melayakkannya beraksi di pusingan 32, pada hari ini. 

Malangnya nasib berbeza menimpa empat lagi beregu lelaki negara iaitu Nur Mohd Azriyn-Tan Wee Kiong, Low Hang Yee- Ng Eng Cheong, Aaron Tai-Khang Khai Xing dan Chia Weijie-Lwi Sheng Hao yang tewas pertarungan pada hari pertama sekaligus terpaksa melupakan kejohanan ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen