
Kelab yang ditubuhkan pada penghujung tahun 2022 untuk mewakili Negeri Melaka dalam kancah bola sepak tanah air iaitu Melaka FC melakar sejarah baharu apabila muncul juara Liga A1 Semi-Pro 2024-25 anjuran Amateur Football League (AFL).
Skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, K. Devan menjulang trofi kejuaraan berkenaan selepas berpesta gol membenam Machan FC dengan keputusan 7-2 dalam perlawanan terakhir liga pada musim ini di Stadium Hang Jebat, pada hari ini.
Kejayaan menjulang trofi kejuaraan bagi saingan yang disifatkan sebagai divisyen kedua bola sepak tanah air itu turut diiringi dengan penerimaan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.
Penyerahan trofi kejuaraan dan pingat kepada para pemain serta pegawai pasukan telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebagai rekod, Meleka FC menutup saingan liga musim ini dengan kutipan 71 mata hasil daripada mencetak 22 kemenangan, melakar lima keputusan seri dan hanya menaggung satu kekalahan sahaja.
Terdahulu, Melaka FC telah mengesahkan kejuaraan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini selepas melakar keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Imigresen FC pada 1hb Februari lalu.
Keputusan itu menyaksikan Melaka FC mengumpul 65 mata daripada 26 perlawanan.
Walaupun masih berbaki dua perlawanan, Imigresen FC, yang menduduki tangga kedua liga sudah tidak dapat memintas kedudukan Melaka FC biarpun tewas dalam baki dua perlawanan seterusnya.
Sementara itu, penyerang Melaka FC, Azim Rahim atau dikenali sebagai Balo dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Liga A1 Semi-Pro selepas meledak 22 gol sepanjang musim ini.
Gelaran itu membolehkan pemain berusia 28 tahun berkenaan membawa pulang trofi kasut emas.
