Terbuka Jerman: 2 Perseorangan Lelaki Negara Lepasi Cabaran Pusingan 32

February 27, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Dua perseorangan lelaki negara, Justin Hoh dan Cheam June Wei berhasil melepasi cabaran di pusingan 32 sekaligus melakar kemaraan ke pusingan 16 kejohanan Terbuka Jerman 2025.

June Wei, 28 tahun, terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas mencatatkan kemenangan bergaya secara “straight set” ke atas perseorangan Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-35 dunia, Su Li Yang menerusi skor 23-21 dan 21-13.

Tidak lama selepas itu, Justin, 20 tahun, menyusuli jejak langkah June Wei apabila menumbangkan pemain Jepun di ranking ke-43 dunia, Takuma Obayashi menerusi skor 21-19, 19-21 dan 21-19 selepas bertarung selama satu jam dan 13 minit di atas gelanggang.

Pada peringkat berikutnya, June Wei akan bertembung dengan juara Kejohanan Dunia BWF 2021 merangkap pemain No.1 Singapura, Loh Kean Yew. Pertemuan ini dijangka bermula pada jam 10.30 malam waktu Malayais.

Sementara itu, Justin pula akan berhadapan dengan pemain No.2 Singapura yang menduduki ranking ke-26 dunia, Jason Teh Jia Heng – perlawanan dijadualkan bermula jam 11.20 malam waktu Malaysia.

Menariknya, sekiranya kedua-dua perseorangan negara berjaya merakamkan kemenangan ke atas lawan masing-masing, June Wei dan Justin akan bertemu sesama sendiri di peringkat suku akhir bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 300 ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd