LTdL 2025: Tiada Perlumbaan Di Sarawak & Pendakian Ke Genting Highlands
Hafiz Omar

Perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini akan menemui peminatnya pada 28hb September hingga 5hb Oktober 2025.
Penganjuran perlumbaan berbasikal berprestij negara anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dilancarkan secara rasmi pada hari ini oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Di dalam majlis pelancaran terbabit, mengekalkan tema “Beat The Heat”, LTdL edisi ke-29 ini akan menjelajah kesemua negeri di semenanjung tanah air dengan jumlah jarak kayuhan 1,257.8 kilometer (km) merangkumi lapan peringkat perlumbaan.
Pulau legenda iaitu Pulau Langkawi kekal dijadikan venue permulaan perlumbaan Peringkat 1 sambil menyertakan Padang Besar, Perlis sebagai venue baharu bagi permulaan perlumbaan Peringkat 2.
Antara venue baharu lain dalam perlumbaan LTdL 2025 adalah Medini, Johor (penutup bagi Peringkat 7) dan Tangkak, Johor (permulaan bagi Peringkat 8).

Perlumbaan kali ini akan berakhir di ibu negara, Kuala Lumpur – sama seperti penganjuran LTdL edisi ke-27.
Bagaimanapun, tidak seperti edisi lalu, perlumbaan kali ini tidak menyertakan perlumbaan di Kepulauan Borneo iaitu Sarawak dan pendakian ke puncak Genting Highlands (disenaraikan sebelum dibatalkan oleh penganjur berikutan kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun).
Kesemua lapan peringkat laluan LTdL 2025 berstatus ProSeries oleh UCI adalah seperti berikut:
- Peringkat 1: Langkawi Round Island (96.5 km)
- Peringkat 2: Padang Besar – Kepala Batas (170.1km)
- Peringkat 3: Gerik – Pasir Puteh (198.2km)
- Peringkat 4: Kuala Terengganu – Kemaman (140.8km)
- Peringkat 5: Temerloh – Bukit Fraser (133.7km)
- Peringkat 6: Shah Alam – Port Dickson (123.4km)
- Peringkat 7: Melaka – Medini (214.6km)
- Peringkat 8: Tangkak – Kuala Lumpur (180.5km)
Dimaklumkan, sebanyak 22 pasukan akan menyertai perlumbaan LTdL 2025 sambil mengharapkan pembabitan tiga pasukan berstatus “World Team”, tujuh buah pasukan “Pro Team” dan sebelas pasukan “Continental Team”.
Sementara itu, turut menyerikan LTdL 2025 adalah tiga buah pasukan dari Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan Pasukan Kebangsaan Malaysia – sama seperti edisi lalu.