Pemenang Serie A Bersama AC Milan Sertai Johor Darul Ta’zim
Hafiz Omar

Pemain sayap kanan yang pernah merangkul kejuaraan Serie A bersama AC Milan, Samu Castillejo menjadi anggota terbaharu bagi kelab gergasi bola sepak Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Castillejo yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 pada bulan lalu diumumkan menyertai JDT berjulukan Harimau Selatan menerusi satu video berdurasi 42 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial kelab berkenaan pada Khamis.
Kehadirannya dilihat alternatif kepada posisi yang sering dimainkan oleh Arif Aiman Hanapi selain mampu beraksi di bahagian kiri memandangkan Castillejo merupakan pemain berkaki kidal.
With over 300 games for LaLiga & Serie A clubs, Samu Castillejo is now a Southern Tiger!
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 27, 2025
Formerly at Malaga, Villarreal, AC Milan and Valencia 👀#NewSigning #WhatCanYouDo#TheTMJEffect #LuaskanKuasamuJohor#JDTForAll pic.twitter.com/wH7G8x1nc2
Dijangka kelibatnya menyarung jersi Merah Biru akan dapat disaksikan buat julung kalinya oleh para peminat ketika JDT bimbingan Hector Bidoglio turun beraksi pada pusingan 16 kancah Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Selain beraksi di dalam saingan Serie A, Castillejo kelahiran Malaga, Sepanyol ini turut pernah mewarnai kancah LaLiga dengan menyertai Malaga CF, Villarreal CF dan Valencia CF.
Antara pengalaman lainnya, Castillejo turut pernah menyarung jersi Sassuolo yang berpangkalan di Emilia-Romagna, Itali secara pinjaman daripada Valencia CF bermula September 2023.
Sebagai tambahan, JDT milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, mendapat khidmat Castillejo tanpa sebarang yuran perpindahan memandangkan pemain ini berstatus ejen bebas.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers