Piala FA: Fulham Singkir Juara Bertahan Di Old Trafford
March 3, 2025 Hafizuddin Omar

Juara bertahan Piala FA England iaitu Manchester United tidak dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada musim lalu selepas tewas di tempat sendiri, Old Trafford pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Lebih malang, kekalahan itu dialami oleh skuad berjulukan Red Devils bimbingan Ruben Amorin seawal pusingan kelima kejohanan selepas tewas di tangan Fulham FC.

Perlawanan tersebut bermula dengan Fulham kendalian Marco Silva terlebih dahulu mendahului menerusi Calvin Bassey pada penghujung separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Manchester United berhasil mengejar dan menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi kaptennya, Bruno  Fernandes.

Namun begitu, kedudukan itu kekal sehingga tamat waktu permainan sebenar sehingga mengheret permainan ke masa tambahan sebelum pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol Fulham iaitu Bernd Leno muncul wira pada penentuan sepakan penalti apabila dia menyelamatkan tendangan Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee dengan pelawat menyempurnakan kesemua empat sepakan meraka.

Penentuan sepakan penalti itu berkesudahan dengan keputusan 4-3 berpihak kepada Fulham sekaligus mengesahkan tiket kemaraan mereka ke peringkat suku akhir bertemu Crystal Palace.

Pada musim lalu, Manchester United yang ketika itu dibimbing Erik Ten Hag muncul juara Piala FA selepas menewaskan Manchester City dengan pada perlawanan akhir yang berkesudahan dengan keputusan 2-1.

Featured Image: Manchester United

Komen