Azeem Sertai Kelompok 10 Pelari Terpantas Dalam Sejarah Universiti Auburn
Hafiz Omar

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi kini tergolong dalam kelompok 10 pelari terbaik dalam acara 60 meter (m) dalam dewan dalam sejarah Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
Perkembangan itu dikongsikan oleh universitinya sendiri susulan Azeem berhasil menamatkan perlumbaan 60m dalam dewan di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 dengan catatan masa 6.56 saat (s) pada Ahad.
Catatan itu membolehkan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan 60m dalam dewan yang turut dilakarnya sendiri, 6.60s, di Kejohanan Tiger Paw Invitational di Universiti Clemson California, sekitar dua minggu lalu.
“Azeem naik ke kedudukan No.8 dalam Senarai 10 Pelari Terbaik Universiti Auburn dalam acara 60m (6.56s),” tulis kapsyen yang dimuat naik oleh akaun media sosial Auburn Track & Field pada Ahad.
Bukan itu sahaja, Azeem, 20 tahun, turut membawa pulang pingat gangsa daripada perlumbaan akhir yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas terbabit berikutan menjadi pelari ketiga melintasi garisan penamat selepas Jordan Antony (University of Arkansas, 6.54s) dan Israel Okon (Universiti Auburn, 6.55s).
Catatan masa itu dilihat menjadi satu perkembangan yang baik buat Azeem serta berada di landasan yang tepat untuk beraksi di pusingan akhir Kejohanan NCAA pada 14hb dan 15hb Mac kelak.
Featured Image: Auburn Track & Field