Masters Orleans: Pei Kee-Mei Xing Hadap Juara Bertahan Di Pusingan 16
March 5, 2025 Hafizuddin Omar

Juara edisi lalu dari, Meilysa Trias Puspitasari dan Rachel Allessya Rose menjadi halangan seterusnya buat beregu wanita No.2 negara iaitu Go Pei Kei dan Teoh Mei Xing di Masters Orleans 2025.

Gandingan pemain muda dari Indonesia itu menjadi lawan buat Pei Kee-Mei Xing selepas berhasil mencetak kemenangan ke atas beregu Turki, Bengisu Ercetin dan Nazlican Inci pada pusingan 32. 

Dalam pertembungan itu, Pei Kee-Mei Xing merakamkan kemenangan ke atas pasangan No.67 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-17 dalam masa 40 minit.

Beralih semula kepada Meilysa-Rachel yang berusia 20 tahun masing-masing, pasangan yang menduduki ranking ke-48 dunia mara ke pusingan 16 dengan mengejutkan pilihan ketiga kejohanan, Laksika Kanlaha dan Phataimas Muenwong.

Meilysa-Rachel yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 menumpaskan pasangan dari Thailand yang berada di ranking ke-12 dunia secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 23-21 dalam masa hampir satu jam.

Sebagai rekod, Pei Kee-Mei Xing dan Meilysa-Rachel pernah berentap sebanyak satu kali sebelum ini di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025.

Bagaimanapun, pertembungan sengit yang memakan masa hampir satu jam dan setengah lamanya  itu berakhir dengan Pei Kee-Mei Xing mengalami kekalahan menerusi skor 21-18, 7-21 dan 17-21.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen