Ranking WBS: Nor Farah Ain Muncul Atlet Boling Padang No.1 Dunia

March 5, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah menempa satu lagi pencapaian baharu dalam kariernya apabila buat julung kalinya bergelar pemain wanita No.1 dunia dalam sukan berkenaan.

Gelaran itu menjadi milik atlet berusia 24 tahun dari Selangor selepas World Bowl Series (WBS) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada Selasa yang menyaksikannya mengumpul 723 mata.

WBS dalam kenyataannya memaklumkan Farah berada di puncak Ranking Dunia selepas persembahan cemerlangnya di Lion City Cup Singapore 2024 dan Hong Kong International Bowls Classic 2024.

Sebagai rekod, Farah kini mendahului 40 mata berbanding atlet dari Scotland, Julie Forest, 683 mata, yang berada di tangga kedua dunia. Sementara itu, tangga ketiga dunia pula dihuni oleh atlet Australia, Kelsey Cottrell dengan pungutan 676 mata.

Nama Farah menjadi bualan dan tumpuan peminat sukan tanah air apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam acara individu wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.

Lebih mengagumkan, kejayaan penuh bermakna itu ditempanya ketika tampil buat julung kalinya di pentas berprestij tersebut dengan mengetepikan pemain Malta, Connie Nixon dalam perlawanan akhir dengan kemenangan secara “straight set” iaitu 6-2 dan 6-3.

Dalam kejohanan itu juga, Farah turut membantu skuad negara meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan bercampuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.

Pada masa yang sama, Izzat turut merangkul pingat perak dalam acara individu lelaki dan kini merupakan pemain No.5 dunia.

Featured Image: World Bowl Series

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd