Ng Ka Long Angus Pencabar Pertama Zii Jia Di All England 2025

March 5, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.1 Hong Kong iaitu Ng Ka Long Angus menjadi cabaran pertama yang perlu dihadapi oleh Lee Zii Jia di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025.

Pengesahan bahawa Angus, 30 tahun, kini berada di bawah bimbingan bekas pemain No.1 Malaysia aitu Wong Choong Hann menjadi lawan buat Zii di pusingan 32 selepas keluarnya keputusan undian bagi kejohanan berkenaan, pada Selasa.

Sebagai rekod, Zii Jia kini di kedudukan No.7 dunia serta diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan mempunyai rekod yang baik bertemu Angus – mencatatkan enam kemenangan daripada 10 pertemuan di peringkat antarabangsa sejak tahun 2019.

Sementara itu, pertembungan terakhir mereka yang berlangsung di Terbuka Indonesia 2024 pada Jun lalu turut berpihak kepada Zii Jia dengan keputusan 21-17 dan 21-16.

Sekiranya berhasil mengatasi Angus, laluan Zii Jia ke suku akhir dilihat cerah dimana dia akan bertemu salah seorang daripada perseorangan dari Singapura samada Loh Kean Yew atau Jason Teh Jia Heng yang berada di ranking ke-12 dan ke-25 masing-masing.

Untuk makluman, kejohanan berprestij yang berlangsung dari 11hb-16hb Mac kelak merupakan salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 1000. ianya menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak AS$101,500 buat pemenang kategori perseorangan lelaki.

Sebagai rekod, Zii Jia pernah merangkul kejuaraan di All England pada edisi 2021 apabila berjaya menumbangkan jaguh Denmark, Viktor Axelsen dengan keputusan 30-29, 20-22 dan 21-9 dalam perlawanan akhir berlangsung di Arena Birmingham.

Sebelum beraksi di All England, Zii Jia terlebih dahulu menyertai Masters Orleans 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 300 – yang berlangsung di Perancis sepanjang minggu ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd