Masters Orleans: Aaron-Wooi Yik Dikejutkan Beregu China No.58 Dunia
March 6, 2025 Hafizuddin Omar

Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerima kejutan terkandas seawal pusingan 32 di kejohanan Masters Orleans 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 300.

Ianya susulan Aaron-Wooi Yik dikejutkan oleh beregu muda China yang menghuni ranking ke-58 dunia, Sun Wen Jun dan Zhu Yi Jun dengan keputusan 18-21 dan 8-21 dalam pertarungan yang berlangsung di Palais des Sports Jean Ros.

Bertambah mengejutkan, Aaron-Wooi Yik yang muncul juara Kejohanan Dunia BWF 2022 tewas kepada gandingan pemain 22 dan 19 tahun masing-masing itu dalam tempoh kurang daripada setengah jam.

Kekalahan mengejutkan ini pastinya menjadi satu tamparan hebat buat beregu kelima dunia itu lebih-lebih lagi menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Sementara itu, sepasang lagi beregu lelaki negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut mengikut jejak langkah yang sama.

Wei Chong-Kai Wun yang berada di kedudukan kesebelas dunia terpaksa melupakan hasrat untuk mara lebih jauh dalam kejohanan Masters Orleans 2025 ekoran tewas 16-21 dan 14-21 di tangan Kim Won Ho dan Seo Seung Jae dari Korea.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen