Masters Orleans: Tang Jie-Ee Wei Jumpa Naib Juara Terbuka Jerman

March 6, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pilihan pertama kejohanan dalam sektor beregu campuran di Masters Orleans 2025, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menepati jangkaan untuk melangkah ke pusingan 16 bagi saingan Jelajah Dunia BWF Super 300.

Tang Jie-Ee Wei yang diundi bertemu Ashith Surya dan Amrutha Pramuthesh dari India mudah mengalahkan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-15 dalam masa tidak sampai setengah jam.

Kemenangan itu membawa mereka bertemu beregu Indonesia yang muncul naib juara Terbuka Jerman 2025 pada minggu lalu, Rehan Naufal Kusharjanto dan Gloria Emanuelle Widjaja pada pusingan 16.

Rehan-Gloria pula menempah tiket kemaraan selepas menundukkan Ki Dong Ju dan Jeong Na Eun menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 22-20 dan 21-14 pada pusingan 32.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei dan Rehan-Gloria tidak pernah bertemu sebelum ini dan pertembungan pada hari ini merupakan yang pertama melibatkan kedua-duanya.

Pemenang bagi pertembungan ini akan bertemu samada beregu Malaysia, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin atau beregu Chinese Taipei, Lu Ming Che dan Hung En-Tzu di peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd