
Kejohanan bola sepak wanita antarabangsa terulung di ASEAN kini dinamakan sebagai ASEAN MSIG Serenity Cup, demikian pengumuman oleh penganjur iaitu Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Kejohanan ini kembali dianjurkan dengan MSIG, penyedia insurans, selaku penaja penamaan sulung bagi kejohanan ini disamping memperkenal logo serta trofi baru kejohanan.
Terdahulu, MSIG telah diumumkan selaku Rakan Insurans Rasmi bagi ASEAN United FC, jenama kolektif bagi kejohanan utama melibatkan pasukan kebangsaan dan kelab ASEAN iaitu Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee dan Kejohanan ASEAN B-23.

ASEAN MSIG Serenity Cup 2025 akan menyaksikan penyertaan sebanyak tujuh buah pasukan wanita terbaik asia tenggara iaitu Filipina, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Myanmar dan Singapura.
Turut sama menyertai kejohanan ini adalah semi-finalis Piala Dunia Wanita FIFA 2023 iaitu Australia yang juga merupakan negara ahli bagi AFF.
Tiada kelibat skuad bola sepak wanita Malaysia pada edisi kali ini memandangkan mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik di Piala Wanita AFF 2024.
Untuk makluman, sebanyak 12 edisi kejohanan bola sepak wanita, dahulunya dikenali sebagai Kejohanan Wanita AFF, telah dianjurkan sejak tahun 2004.
Thailand muncul pasukan paling berjaya di kejohanan ini dengan muncul juara sebanyak empat kali (2011, 2015, 2016 & 2018) diikuti dengan Vietnam sebanyak tiga kali (2006, 2012 & 2019) serta Kemboja dan Myanmar masing-masing dua kali.