
Harga tiket untuk menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC merebut kejuaraan Piala Malaysia 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 12hb April terjawab pada hari ini.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan, badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) tampil berkongsikan mengenai harga dan kategori tiket yang dijual bagi perlawanan akhir tersebut.
“MFL membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia seperti sebelum ini dengan tiket harga serendah RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission selain Unifi Premium RM150 serta Unifi VIP Grandstand RM200.”

“Kami berharap dengan penetapan harga tiket serta pengumuman lebih awal ini akan memudahkan penyokong-penyokong JDT dan Sri Pahang FC merancang perjalanan untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.” kongsi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd.
Pada masa yang sama, Shazli memaklumkan urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan finalis – sama seperti yang dilaksaknakan terhadap perlawanan akhir sebelum ini.
“Proses ini dilihat membolehkan JDT dan Sri Pahang dapat menjual tiket kepada penyokong masing-masing secara sistematik dan sama rata,” ujar Shazli Shaik lagi.
Oleh demikian, para penyokong boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung pembelian tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 24-25 menerusi hebahan yang akan dibuat oleh JDT dan Sri Pahang dalam masa terdekat.
Featured Image: Malaysian Football League