Arteta Tak Mahu Akui Peluang Rangkul Kejuaraan Liga Sudah Tertutup
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di utara London iaitu Arsenal kini ketinggalan 15 mata dengan pendahulu Liga Perdana (PL) iaitu Liverpool selepas terikat 1-1 dengan Manchester United (Man Utd), pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Aksi minggu perlawanan ke-28 itu menyaksikan Man Utd bimbingan Ruben Amorim menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma cantik oleh kaptennya, Bruno Fernandes pada minit 45+2.
Mujurlah rembatan kencang oleh Declan Rice pada minit 74 berhasil menerjah ke dalam gawang sekaligus membolehkan Arsenal mengutip sekurang-kurangnya satu mata dari Old Trafford dan mengumpul 55 mata daripada 28 perlawanan.
Selepas perlawanan tersebut, ketika ditanya oleh wartawan Sky Sports mengenai peluang Arsenal untuk meraih kejuaraan liga selepas merekodkan jurang perbezaan 15 mata dengan Liverpool, pengurus berusia 42 tahun itu segera cabut lari tanpa sebarang jawapan.
Bagaimanapun, semasa dalam sidang media selepas perlawanan, ketika soalan tersebut diajukan sekali lagi, Arteta menjawab, “saya tidak mahu berkata begitu (peluang telah tertutup) tetapi hari ini kekecewaaan kami tidak menang permainan kami – kami tahu kesegeraan dan ianya melibatkan kemenangan setiap perlawanan jika kamu mahu mempunyai peluang untuk melakukannya (meraih kejuaraan).”
“Saya tak fikir ini merupakan detik yang sesuai untuk bercakap mengenai perkara itu,” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi Arsenal.
A hard-earned point on the road, but Arsenal now sit 15 points behind leaders Liverpool 📊 pic.twitter.com/qylrljVfud
— Premier League (@premierleague) March 9, 2025
Liverpool kini di puncak liga dengan pungutan 70 mata daripada 29 perlawanan. Secara matematik, Liverpool hanya memerlukan 16 mata sahaja lagi – 5 kemenangan dan 1 seri daripada baki 9 perlawanan – untuk mengesahkan kejuaraan liga pada musim ini.
Untuk perlawanan seterusnya, Liverpool akan berhadapan dengan Everton, Fulham, West Ham, Leicester City, Tottenham Hotspur, Chelsea, Arsenal, Brighton & Hove Albion dan akhir sekali, Crystal Palace.
Manakala sepuluh pasukan terakhir yang perlu dihadapi Arsenal ialah Chelsea, Fulham, Everton, Brentford, Ipswich Town, Crystal Palace, Bournemouth, Liverpool, Newcastle United dan Southampton.
Sebagai rekod, Arsenal kali terakhir meraih gelaran juara liga tertinggi bola sepak inggeris adalah pada musim 2003-04 – musim yang sama mereka menjuarai saingan liga tanpa sebarang kekalahan.
Featured Image: Arsenal