
Liverpool bimbingan Arne Slot kini berada di kedudukan yang selesa di puncak liga dengan kutipan 70 mata daripada 29 perlawanan selain menjarakkan diri sebanyak 15 mata dengan Arsenal – penghuni tangga kedua liga.
Berdasarkan congakan matematik, skuad berjulukan The Reds itu hanya hanya perlu merakamkan 5 kemenangan dan 1 keputusan seri sahaja daripada baki 9 perlawanan untuk meraih gelaran liga divisyen pertama bola sepak Inggeris buat kali ke-20 dalam sejarahnya.
Menariknya, kecemerlangan Liverpool pada musim ini turut menarik minat bekas pengurusnya, Jurgen Klopp yang merancang pulang semula ke Anfield untuk meraikan kejuaraan itu sekiranya mereka muncul juara.
Bagaimanapun, Klopp yang kini berperanan sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull menegaskan meraikannya bersama-sama penyokong dan tidak menyertai perarakan di atas bas bersama para pemain dan barisan kejurulatihan.
Pada masa yang sama, Klopp memaklumkan hanya pulang ke Anfield selepas Liverpool telah mengesahkan kemenangan.
A hard-earned point on the road, but Arsenal now sit 15 points behind leaders Liverpool 📊 pic.twitter.com/qylrljVfud
— Premier League (@premierleague) March 9, 2025
“Buat masa ini, saya agak keberatan untuk kembali ke Anfield kerana tidak mahu dilihat sebagai pembawa malang sekiranya Liverpool mengalami kekalahan.”
“Tetapi mungkin pada perlawan terakhir (menentang Crystal Palace di Anfield) dan pada masa itu saya akan berada di tempat duduk penonton,” katanya.
Menariknya, pada bulan lalu, Slot yang mengambil alih tugas pengurus Liverpool bermula daripada awal musim ini mendedahkan telah menjemput Klopp untuk pulang ke Anfield sebanyak dua kali ketika aksi “home” menentang Manchester City dan Real Madrid tetapi kedua-duanya telah ditolak oleh Klopp.
Bukan itu sahaja, Slot juga mengakui tidak mempunyai masalah menerima kehadiran Klopp pada bila-bila masa termasuk semasa sesi latihan di Kirkby.
Sebagai rekod, Klopp meninggalkan Liverpool pada penghujung musim lalu selepas membimbing The Reds selama sembilan musim selain menghadiahkan trofi Piala Dunia Kelab FIFA, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Super UEFA, Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Perisai Komuniti.
Featured Image: Liverpool